Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan

Sabtu, 14 April 2012

Tumbuk polis tahan kereta

MELAKA: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ditahan awal pagi kelmarin, selepas didakwa menyerang dengan menumbuk muka anggota polis di Bukit Beruang, dekat sini.
Menurut sumber, kejadian berlaku antara jam 2 pagi hingga 3 pagi itu, ketika suspek diarah memberhentikan kereta dipandunya oleh sepasukan anggota polis peronda yang bertugas.
“Arahan penahanan keretanya selepas dia didapati memandu dalam keadaan cuai dan berbahaya.
“Sebaik dihampiri anggota polis, suspek enggan bekerjasama lalu berlaku perbalahan.
“Suspek dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis dan menyerangnya dengan menumbuk mukanya menyebabkan rakan mangsa terpaksa memberi bantuan,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, suspek dibawa ke Balai Polis Ayer Keroh untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penahanan suspek.

Dalam perkembangan sama, sumber SPRM negeri ketika dihubungi turut enggan mengulas berhubung perkara itu dan menegaskan pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut.



Sumber: myMetro | Tumbuk polis tahan kereta

Selasa, 10 April 2012

1: Pingat Darjah Kebesaran bagi Pesalah Rasuah Harus Ditarik balik

Apa yang kita ketahui, pingat darjah kebesaran yang diberikan oleh Raja-raja Melayu dan TYT merupakan satu anugerah khas kepada mana-mana individu yang telah dinilai oleh Majlis Jumaah Diraja Negeri masing-masing atau seantara dengannya merujuk struktur pentadbiran kerajaan negeri.



Diketahui juga kita bahawa, individu-individu yang menerima inilah adalah antara individu yang terbaik bak dari segi sahsiahnya, budi pekerti, jasa baik, dan segalanya mengikut ketetapan kriteria yang telah ditetapkan. Individu yang dianugerahkan pingat seperti ini mempunyai contoh yang baik kepada semua masyarakat. Mana mungkin anugerah pingat darjah kebesaran seperti ini diberikan kepada mereka yang berkelakuan yang tidak baik dan menyalahi undang-undang.

Di sini saya hanya menekan satu cadangan atau pendapat atau suara kerdil yang tidak mungkin didengari oleh pemimpin atasan yang tinggi.

Wajarkah Pingat Darjah Kebesaran yang diterima oleh pesalah laku rasuah ditarik balik? 
Perlu ditarik balik kerana individu terbabit telah melakukan kesalahan besar yang tidak sewajarnya dia melakukannya. Adakah anda semua bersetuju? 



Cuba kita lihat semua kes-kes rasuah yang telah berlaku yang membabitkan individu yang menggunakan gelaran disebabkan Darjah Kebesaran yang diterimanya. Adakah gelaran darjah kebesaran atau pingat mereka ditarik? 

Akan disambung pada siri 2 dengan fakta yang lebih menarik lagi. Untuk permulaan ini saya hanya membuka ruang untuk anda berfikir sejenak tentang perkara ini. Mungkin anda juga mempunyai pendapat yang lebih menarik.

Isnin, 26 Mac 2012

SPRM Menjawab #17: "SPRM adalah tidak bertaring seperti BPR sebelum ini. Kenapa perlu ditukarkan kepada Suruhanjaya? Tidakkah lebih baik memindahkan Akta berkenaan tanpa ditukarkan kepada Suruhanjaya"?

Tujuan utama penubuhan SPRM adalah meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam usaha pencegahan rasuah serta untuk memperbaiki persepsi kebebasan dan ketelusan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi SPRM. SPRM turut disokong oleh mekanisme check and balance dalam memastikan SPRM bertindak selaras dengan kehendak perundangan, negara dan aspirasi masyarakat.

Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #14: "Mengapakah terdapat tomahan yang mengatakan saksi-saksi dan suspek dipukul oleh pegawai SPRM semasa soalsiasat?"

Dalam menjalankan tugas pemeriksaan saksi atau suspek, undang-undang tidak membenarkan pegawai SPRM melakukan sebarang penderaan fizikal bagi tujuan mendapatkan keterangan atau maklumat. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya perkara ini berlaku.

SPRM mendapati bahawa terdapat kecenderungan suspek atau saksi membuat tohmahan dan laporan polis mengatakan mereka didera setelah mereka memberi pernyataan kepada pihak SPRM. Tujuan mereka membuat sedemikian adalah untuk digunakan sebagai pembelaan di Mahkamah nanti.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

Ahad, 25 Mac 2012

SPRM Menjawab #12: "Apakah harta pesalah akan dirampas dan apakah yang terjadi kepada harta yang telah dirampas itu "?

Sekiranya pendakwaan dibuat bagi sesuatu kesalahan, seksyen 40(1) Akta SPRM 2009 terpakai dimana Mahkamah hendaklah membuat perintah bagi pelucuthakan apa-apa harta yang dibuktikan menjadi hal perkara kesalahan itu atau telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu jika kesalahan itu telah dibuktikan terhadap tertuduh atau kesalahan itu telah dibuktikan tetapi Mahkamah berpuashati bahawa tertuduh bukan pemunya yang sebenar atau sah dan tiada orang lain berhak kepada harta itu sebagai pembeli dengan suci hati dengan balasan berharga.

Sekiranya tiada pendakwaan dibuat bagi suatu kesalahan, seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 terpakai di mana Pendakwa Raya boleh, sebelum tamat tempoh 18 bulan dari penyitaan memohon kepada Hakim seorang Mahkamah Sesyen untuk mendapat perintah bagi pelucuthakan harta itu jika ia berpuashati harta itu diperolehi hasil daripada atau berkaitan suatu kesalahan di bawah Akta ini.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #11: "Bolehkah SPRM merampas dokumen atau harta atau barang kes tanpa memaklumkan kepada pemilik lebih awal"?

Undang-undang memberi kuasa kepada semua pegawai SPRM untuk bertindak merampas dokumen atau harta atau barang kes yang berkaitan dengan kes yang disiasat tanpa perlu memaklumkan kepada pemunya atau pemilik lebih awal lagi. Malah dalam proses siasatan, unsur kejutan (element of surprises) adalah penting untuk mengelakkan barang kes berkenaan dimusnahkan, disembunyikan, dilarikan dan seumpamanya sebelum ia diperolehi.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

Selasa, 20 Mac 2012

SPRM Menjawab #10: "Adakah SPRM akan memaklumkan kemajuan siasatan ke atas maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat atau pengadu"?

Dari segi undang-undang, SPRM tidak diwajibkan memaklumkan kepada pemberi maklumat atau pengadu tentang kemajuan siasatan ke atas maklumat atau aduan yang diberikan. Di samping itu, semua kandungan siasatan SPRM adalah terperingkat dan tidak boleh diumumkan secara terperinci selagi sesuatu kes itu tidak dibawa ke Mahkamah. 

Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #9: "Apakah SPRM akan mengambil tindakan terhadap maklumat yang dikemukakan walaupun hanya melalui surat layang"?

SPRM akan mengambil tindakan ke atas apa-apa maklumat termasuk melalui surat layang sekiranya maklumat itu mempunyai atau mengandungi asas wujudnya perlakuan atau amalan rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #7: "Bolehkah sesuatu tindakan diambil walaupun kejadian rasuah itu telah lama berlaku"?

Sesuatu maklumat tentang perbuatan rasuah yang berlaku dari tahun 1961 dan penyalahgunaan kuasa dari tahun 1970 hingga sekarang boleh dikemukakan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya. Dalam undang-undang jenayah, tiada had masa ditentukan untuk mengambil tindakan terhadap pelaku kesalahan.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #6: "Pemberi dan penerima rasuah adalah sama-sama melakukan jenayah dan bersalah dari segi undang-undang tetapi kenapa SPRM hanya mendakwa penerima rasuah saja"?

Persoalan itu tidak semestinya benar dalam semua keadaan. Jika ada mana-mana pihak termasuk orang ketiga yang boleh mengemukakan bukti yang mencukupi, meyakinkan dan boleh berdiri dengan sendirinya, maka kedua-dua pihak pemberi dan penerima rasuah malah orang perantaraan sekalipun boleh didakwa di Mahkamah. 

Dalam kebanyakan kes SPRM lazimnya satu pihak sahaja yang dikenakan pertuduhan sama ada pemberi atau penerima rasuah. Keadaan ini terjadi disebabkan tidak ada pihak ketiga yang tampil memberikan bukti atau keterangan di atas perlakuan kedua-dua pihak pemberi dan penerima rasuah itu. Dengan keadaan yang sedemikian adalah sukar untuk mendakwa kedua-dua mereka sebagai pemberi dan penerima rasuah. 

Pertimbangan juga dibuat untuk menentukan pihak mana yang menjadi mangsa antara si pemberi dan si penerima itu. Pilihan mempertuduhkan satu pihak, pada lazimnya berdasarkan pihak mana yang melaporkan perkara itu kepada SPRM sebagai bukti yang ia tidak bersetuju dan bukan rakan sejenayah dalam transaksi itu. 


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #5: "Di dalam pemilihan melalui tender adalah jelas tentang peraturan pengisytiharan dan keluar daripada mesyuarat pemilihan dan sebagainya supaya tidak dipertuduhkan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Bagaimana pula dengan masalah pemilihan melalui proses sebutharga?"

Di dalam pemilihan melalui sebutharga, peraturan-peraturan seperti dalam pemilihan tender juga perlu dipatuhi. Sekiranya seseorang pegawai itu mengetahui bahawa ada sebutharga yang dikemukakan kepadanya adalah terdiri dari orang yang mempunyai kepentingan dengannya, maka hendaklah beliau mengisytiharkan diri dan membiarkan keputusan pemilihan dilakukan oleh orang lain.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #4: "Adakah salah dari segi undang-undang sekiranya seorang pegawai awam menjadi broker selepas waktu pejabat dan mendapat komisyen?"

Sekiranya pegawai awam itu menjadi broker rasmi iaitu berdaftar dan sebagainya, maka ia menyalahi undang-undang melainkan mendapat kebenaran Ketua Jabatannya dan sekiranya pegawai awam itu melanggar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 kerana menjalankan pekerjaan luar dengan imbuhan [Peraturan 5, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993]


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #3: "Mengapakah hadiah dari satu segi boleh dipertimbangkan penerimaanya dengan mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 tetapi dari satu segi yang lain di bawah seksyen 25 Akta SPRM 2009 hendaklah dilaporkan kepada SPRM?"

Arahan tentang penerimaan hadiah sama ada mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakukan & Tatatertib) 1993, Pekeliling Bil. 3 Tahun 1998 (Penerimaan Hadiah dan Keraian Pegawai Awam) dan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 adalah sama sahaja iaitu di mana setiap penerimaan hadiah hendaklah dilaporkan. Sekiranya Ketua Jabatan membenarkan penerimaan barang tersebut maka barulah pegawai berkenaan boleh memiliki barang yang dihadiahkan. Di dalam seksyen 25 Akta SPRM 2009 dinyatakan apabila pemberian tersebut adalah dirasakan sebagai pemberian rasuah maka perbuatan tersebut perlulah dilaporkan kepada Polis yang berdekatan atau kepada SPRM.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #2: "Apakah hadiah atau cenderahati boleh digolongkan sebagai rasuah?"



Hadiah termasuk cenderahati adalah merupakan salah satu bentuk suapan rasuah. Dengan demikian, jika sesuatu hadiah/cenderahati tersebut diberikan atau diterima secara rasuah atau dengan niat rasuah, maka pemberian atau penerimaan hadiah/cenderahati itu merupakan kesalahan jenayah.

Seseorang pegawai awam tidak boleh menerima sebarang hadiah daripada mana-mana pihak sekiranya penerimaan hadiah itu ada kaitannya dengan tugas rasmi pegawai awam itu dan bentuk, amaun dan nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah diberikan. Kesalahan ini dinyatakan dalam Peraturan 8, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Walau bagaimanapun, seseorang pegawai awam boleh menerima hadiah/cenderahati dengan nilai yang sepadan jika hadiah/cenderahati diberikan atau diterima bukan secara rasuah. Pegawai awam itu dikehendaki melaporkan dan mendapatkan kebenaran daripada Ketua Jabatannya sebagimana dalam Pekeliling bil.3 Tahun 1998 (Penerimaan Hadiah dan Keraian Pegawai Awam)


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #13: "Mengapakah hasil siasatan khususnya kes-kes yang melibatkan kepentingan awam tidak didedahkan?"

SPRM tidak dapat mededahkan sesuatu kes yang sedang dalam siasatan kerana:


  • pendedahan boleh menjejaskan siasatan iaitu saksi mungkin melarikan diri, dokumen-dokumen mungkin dimusnahkan, suspek lari, berlaku pakatan untuk memusnahkan keterangan dan lain-lain.
  • menjaga nama baik suspek sehingga beliau dituduh di Mahkamah.
  • tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 menyatakan sesuatu aduan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehingga orang tertuduh dipertuduh di Mahkamah atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu melainkan jika pendedahan itu dibuat dengan persetujuan Pendakwa Raya atau seorang pegawai Suruhanjaya yng berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi.



Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

Rabu, 7 Mac 2012

SPRM Menjawab #8 "Sejauh manakah perlindungan diberikan oleh SPRM kepada pemberi maklumat"?


Seksyen 65(1) Akta SPRM 2009 dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada mana-mana pihak yang boleh menzahirkan atau menyebabkan identiti pemberi maklumat diketahui. Dengan perkataan lain, undang-undang memberi perlindungan kepada pemberi maklumat ke atas kes-kes rasuah.

Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #15: "Apakah hukuman bagi kesalahan rasuah"?



Secara umumnya, hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM 10000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Gambar di bawah menunjukkan hukuman pesalah rasuah di negara China.


Adakah hukuman pesalah rasuah di Malaysia masih ringan? Perlukah Parlimen menyemak semula hukuman pesalah rasuah yang sedia ada bagi membasmi gejala rasuah ini? Wajarkah hukuman seperti di negara China di implemetasikan di Malaysia?

Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #41: "Adakah SPRM mengamalkan pendakwaan terpilih"?

SPRM tidak mempunyai kuasa pendakwaan sebaliknya kuasa menentukkan sesuatu pendakwaan ditetapkan oleh Jabatan Peguam Negara. Pada masa ini SPRM tidak perlu diberi kuasa membuat keputusan dalam pendakwaan sesuatu kes rasuah sepertimana yang didesak oleh sesetengah pihak supaya mekanisme check and balances dalam sistem keadilan jenayah sedia ada dapat terus dipertahankan.

Kuasa pendakwaan kes-kes jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di bawah Seksyen 50 APR 1997 dan kuasa ini adalah kuasa mutlak Pendakwa Raya sebagaimana termaktub dalam Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan.


Walau bagaimanapun SPRM berusaha mempercepatkan proses mendapatkan keputusan terhadap sesuatu kes siasatan. Keputusan terhadap mana-mana kes siasatan dibuat di peringkat SPRM melalui Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang kanan dipinjamkan ke SPRM bagi membuat keputusan ke atas kes-kes rasuah. Jabatan Peguam Negara juga menempatkan TPR di SPRM yang bertanggungjawab mendakwa kes-kes SPRM.

Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

Isnin, 5 Mac 2012

SPRM Menjawab #49: "Seorang kenamaan (mantan Ketua Menteri) telah dijatuhkan hukuman yang ringan dan tidak setimpal dengan jumlah wang ringgit yang beliau terlibat. Tidakkah SPRM membuka penyiasatan terhadap hakim itu yang mungkin terlibat dengan rasuah"?

Hukuman yang dijatuhkan oleh seseorang hakim sama ada berat atau ringan itu adalah bergantung kepada hakim tersebut. Sekiranya pihak pendakwa tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan, beliau boleh membuat rayuan tentang hukuman tersebut ke Mahkamah Tinggi. SPRM tidak membuat penyiasatan ke atas hakim tersebut memandangkan tiada bukti perlakuan rasuah berlaku semasa membuat hukuman tersebut.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #42: "Kenapa kes-kes SPRM yang dibicara di Mahkamah didapati akhirnya kalah?"



Pendakwaan ke atas sesuatu kes hanya akan dijalankan sekiranya terdapat keterangan mencukupi di peringkat penyiasatan pada tahap prima facie dan sekurang-kurangya 90% bagi mendapatkan sabitan.

Isu kelemahan atau kecuaian penyiasatan bukanlah penyebab utama yang membawa kepada kekalahan sesuatu kes di Mahkamah. Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kekalahan sesuatu kes pendakwaan adalah kenyataan saksi yang bercanggah dengan kenyataan yang diberikan semasa penyiasatan turn hostile dan tempoh perbicaraan yang panjang turut memberi kesan ke atas keterangan yang diberikan oleh saksi semasa perbicaraan.

Tambahan pula dalam kebanyakkan kes rasuah, is melibatkan dua pihak yang berkepentingan di mana si pemberi dan penerima rasuah beroleh keuntungan (victimless crime) berbanding dengan jenayah-jenayah lain yang mana mangsa yang terlibat akan lebih konsisten dalam memberi keterangan mereka.




Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM