Sabtu, 7 Januari 2012

Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga oleh BNM

Imej pandangan belakang duit syiling Malaysia siri ketiga


Keunikan Malaysia 
Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga

Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk duit syiling Malaysia siri ketiga ini. Dengan tema 'Keunikan Malaysia', reka bentuk baharu duit syiling ini memaparkan motif-motif seni kraftangan tradisional dan keindahan flora dan fauna negara. Duit syiling ini menyerlahkan identiti kebangsaan Malaysia yang kaya dan pelbagai dengan begitu indah sekali.
Ciri-ciri Am
Bahagian hadapan setiap denominasi memaparkan motif berbeza, 14 titik untuk melambangkan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan dan (kecuali duit syiling 50 sen) lima garis mendatar bagi menggambarkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Bahagian belakang duit syiling pula memaparkan motif Bunga Raya atau Rosa-sinensis, iaitu bunga kebangsaan Malaysia, tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan perkataan 'BANK NEGARA MALAYSIA'.

50 sen: Sulur Kacang
Imej pandangan hadapan dan belakang duit syling 50 sen Malaysia siri ketiga

Motif sulur kacang pada duit syiling 50 sen amat terkenal kerana sering digunakan oleh para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak mereka. Kelembutan lingkaran dan juntaian pokok kacang tergambar dalam ukiran pada barang kemas, peti, dan juga pada bahagian-bahagian rumah kayu tradisional seperti muka pintu, bingkai tingkap serta panel kayu pada dinding rumah. Garisan halus pada latar belakang motif merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan.


20 sen: Bunga Melur

Imej pandangan hadapan dan belakang duit syling 20 sen Malaysia siri ketiga
Bunga melur mendapat tempat yang istimewa dalam kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia. Keharuman bunga ini menjadikannya sebagai satu elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan. Motif bunga melur juga sering terdapat pada hasil kesenian dan pertukangan tangan tradisional seperti sulaman dan ukiran perak. Pada duit syiling 20 sen baharu ini, bunga melur dipaparkan dengan berlatarkan motif kain destar siga.

10 sen: Motif Orang Asli

Imej pandangan hadapan dan belakang duit syling 10 sen Malaysia siri ketiga
Orang Asli di Malaysia cukup terkenal dengan kemahiran seni anyaman daun-daun dan tumbuhan setempat untuk dijadikan perhiasan seperti hiasan kepala, selempang dan skirt yang dipakai di upacara dan majlis tradisional. Setiap kaum memiliki corak anyaman tersendiri yang lazimnya diilhamkan daripada sistem kepercayaan dan persekitaran mereka. Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia.

5 sen: Delta Siga

Imej pandangan hadapan dan belakang duit syling 5 sen Malaysia siri ketiga
Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. Kain hiasan kepala ini ditenun terutamanya dengan benang hitam dan diserikan dengan benang pelbagai warna bercorak geometri serta motif yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Dengan berlatarkan motif sulur kacang, destar siga menjadi corak utama pada duit syiling 5 sen baharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan