Selasa, 20 Mac 2012

SPRM Menjawab #10: "Adakah SPRM akan memaklumkan kemajuan siasatan ke atas maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat atau pengadu"?

Dari segi undang-undang, SPRM tidak diwajibkan memaklumkan kepada pemberi maklumat atau pengadu tentang kemajuan siasatan ke atas maklumat atau aduan yang diberikan. Di samping itu, semua kandungan siasatan SPRM adalah terperingkat dan tidak boleh diumumkan secara terperinci selagi sesuatu kes itu tidak dibawa ke Mahkamah. 

Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #9: "Apakah SPRM akan mengambil tindakan terhadap maklumat yang dikemukakan walaupun hanya melalui surat layang"?

SPRM akan mengambil tindakan ke atas apa-apa maklumat termasuk melalui surat layang sekiranya maklumat itu mempunyai atau mengandungi asas wujudnya perlakuan atau amalan rasuah ataupun penyalahgunaan kuasa.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #7: "Bolehkah sesuatu tindakan diambil walaupun kejadian rasuah itu telah lama berlaku"?

Sesuatu maklumat tentang perbuatan rasuah yang berlaku dari tahun 1961 dan penyalahgunaan kuasa dari tahun 1970 hingga sekarang boleh dikemukakan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya. Dalam undang-undang jenayah, tiada had masa ditentukan untuk mengambil tindakan terhadap pelaku kesalahan.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #6: "Pemberi dan penerima rasuah adalah sama-sama melakukan jenayah dan bersalah dari segi undang-undang tetapi kenapa SPRM hanya mendakwa penerima rasuah saja"?

Persoalan itu tidak semestinya benar dalam semua keadaan. Jika ada mana-mana pihak termasuk orang ketiga yang boleh mengemukakan bukti yang mencukupi, meyakinkan dan boleh berdiri dengan sendirinya, maka kedua-dua pihak pemberi dan penerima rasuah malah orang perantaraan sekalipun boleh didakwa di Mahkamah. 

Dalam kebanyakan kes SPRM lazimnya satu pihak sahaja yang dikenakan pertuduhan sama ada pemberi atau penerima rasuah. Keadaan ini terjadi disebabkan tidak ada pihak ketiga yang tampil memberikan bukti atau keterangan di atas perlakuan kedua-dua pihak pemberi dan penerima rasuah itu. Dengan keadaan yang sedemikian adalah sukar untuk mendakwa kedua-dua mereka sebagai pemberi dan penerima rasuah. 

Pertimbangan juga dibuat untuk menentukan pihak mana yang menjadi mangsa antara si pemberi dan si penerima itu. Pilihan mempertuduhkan satu pihak, pada lazimnya berdasarkan pihak mana yang melaporkan perkara itu kepada SPRM sebagai bukti yang ia tidak bersetuju dan bukan rakan sejenayah dalam transaksi itu. 


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #5: "Di dalam pemilihan melalui tender adalah jelas tentang peraturan pengisytiharan dan keluar daripada mesyuarat pemilihan dan sebagainya supaya tidak dipertuduhkan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Bagaimana pula dengan masalah pemilihan melalui proses sebutharga?"

Di dalam pemilihan melalui sebutharga, peraturan-peraturan seperti dalam pemilihan tender juga perlu dipatuhi. Sekiranya seseorang pegawai itu mengetahui bahawa ada sebutharga yang dikemukakan kepadanya adalah terdiri dari orang yang mempunyai kepentingan dengannya, maka hendaklah beliau mengisytiharkan diri dan membiarkan keputusan pemilihan dilakukan oleh orang lain.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #4: "Adakah salah dari segi undang-undang sekiranya seorang pegawai awam menjadi broker selepas waktu pejabat dan mendapat komisyen?"

Sekiranya pegawai awam itu menjadi broker rasmi iaitu berdaftar dan sebagainya, maka ia menyalahi undang-undang melainkan mendapat kebenaran Ketua Jabatannya dan sekiranya pegawai awam itu melanggar Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 kerana menjalankan pekerjaan luar dengan imbuhan [Peraturan 5, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993]


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #3: "Mengapakah hadiah dari satu segi boleh dipertimbangkan penerimaanya dengan mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 tetapi dari satu segi yang lain di bawah seksyen 25 Akta SPRM 2009 hendaklah dilaporkan kepada SPRM?"

Arahan tentang penerimaan hadiah sama ada mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakukan & Tatatertib) 1993, Pekeliling Bil. 3 Tahun 1998 (Penerimaan Hadiah dan Keraian Pegawai Awam) dan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 adalah sama sahaja iaitu di mana setiap penerimaan hadiah hendaklah dilaporkan. Sekiranya Ketua Jabatan membenarkan penerimaan barang tersebut maka barulah pegawai berkenaan boleh memiliki barang yang dihadiahkan. Di dalam seksyen 25 Akta SPRM 2009 dinyatakan apabila pemberian tersebut adalah dirasakan sebagai pemberian rasuah maka perbuatan tersebut perlulah dilaporkan kepada Polis yang berdekatan atau kepada SPRM.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #2: "Apakah hadiah atau cenderahati boleh digolongkan sebagai rasuah?"



Hadiah termasuk cenderahati adalah merupakan salah satu bentuk suapan rasuah. Dengan demikian, jika sesuatu hadiah/cenderahati tersebut diberikan atau diterima secara rasuah atau dengan niat rasuah, maka pemberian atau penerimaan hadiah/cenderahati itu merupakan kesalahan jenayah.

Seseorang pegawai awam tidak boleh menerima sebarang hadiah daripada mana-mana pihak sekiranya penerimaan hadiah itu ada kaitannya dengan tugas rasmi pegawai awam itu dan bentuk, amaun dan nilai hadiah itu tidak sepadan dengan maksud hadiah diberikan. Kesalahan ini dinyatakan dalam Peraturan 8, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Walau bagaimanapun, seseorang pegawai awam boleh menerima hadiah/cenderahati dengan nilai yang sepadan jika hadiah/cenderahati diberikan atau diterima bukan secara rasuah. Pegawai awam itu dikehendaki melaporkan dan mendapatkan kebenaran daripada Ketua Jabatannya sebagimana dalam Pekeliling bil.3 Tahun 1998 (Penerimaan Hadiah dan Keraian Pegawai Awam)


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #13: "Mengapakah hasil siasatan khususnya kes-kes yang melibatkan kepentingan awam tidak didedahkan?"

SPRM tidak dapat mededahkan sesuatu kes yang sedang dalam siasatan kerana:


  • pendedahan boleh menjejaskan siasatan iaitu saksi mungkin melarikan diri, dokumen-dokumen mungkin dimusnahkan, suspek lari, berlaku pakatan untuk memusnahkan keterangan dan lain-lain.
  • menjaga nama baik suspek sehingga beliau dituduh di Mahkamah.
  • tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

Seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 menyatakan sesuatu aduan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehingga orang tertuduh dipertuduh di Mahkamah atas suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu melainkan jika pendedahan itu dibuat dengan persetujuan Pendakwa Raya atau seorang pegawai Suruhanjaya yng berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi.



Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM