Isnin, 26 Mac 2012

SPRM Menjawab #17: "SPRM adalah tidak bertaring seperti BPR sebelum ini. Kenapa perlu ditukarkan kepada Suruhanjaya? Tidakkah lebih baik memindahkan Akta berkenaan tanpa ditukarkan kepada Suruhanjaya"?

Tujuan utama penubuhan SPRM adalah meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam usaha pencegahan rasuah serta untuk memperbaiki persepsi kebebasan dan ketelusan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi SPRM. SPRM turut disokong oleh mekanisme check and balance dalam memastikan SPRM bertindak selaras dengan kehendak perundangan, negara dan aspirasi masyarakat.

Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #14: "Mengapakah terdapat tomahan yang mengatakan saksi-saksi dan suspek dipukul oleh pegawai SPRM semasa soalsiasat?"

Dalam menjalankan tugas pemeriksaan saksi atau suspek, undang-undang tidak membenarkan pegawai SPRM melakukan sebarang penderaan fizikal bagi tujuan mendapatkan keterangan atau maklumat. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan sekiranya perkara ini berlaku.

SPRM mendapati bahawa terdapat kecenderungan suspek atau saksi membuat tohmahan dan laporan polis mengatakan mereka didera setelah mereka memberi pernyataan kepada pihak SPRM. Tujuan mereka membuat sedemikian adalah untuk digunakan sebagai pembelaan di Mahkamah nanti.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

Ahad, 25 Mac 2012

SPRM Menjawab #12: "Apakah harta pesalah akan dirampas dan apakah yang terjadi kepada harta yang telah dirampas itu "?

Sekiranya pendakwaan dibuat bagi sesuatu kesalahan, seksyen 40(1) Akta SPRM 2009 terpakai dimana Mahkamah hendaklah membuat perintah bagi pelucuthakan apa-apa harta yang dibuktikan menjadi hal perkara kesalahan itu atau telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu jika kesalahan itu telah dibuktikan terhadap tertuduh atau kesalahan itu telah dibuktikan tetapi Mahkamah berpuashati bahawa tertuduh bukan pemunya yang sebenar atau sah dan tiada orang lain berhak kepada harta itu sebagai pembeli dengan suci hati dengan balasan berharga.

Sekiranya tiada pendakwaan dibuat bagi suatu kesalahan, seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 terpakai di mana Pendakwa Raya boleh, sebelum tamat tempoh 18 bulan dari penyitaan memohon kepada Hakim seorang Mahkamah Sesyen untuk mendapat perintah bagi pelucuthakan harta itu jika ia berpuashati harta itu diperolehi hasil daripada atau berkaitan suatu kesalahan di bawah Akta ini.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM

SPRM Menjawab #11: "Bolehkah SPRM merampas dokumen atau harta atau barang kes tanpa memaklumkan kepada pemilik lebih awal"?

Undang-undang memberi kuasa kepada semua pegawai SPRM untuk bertindak merampas dokumen atau harta atau barang kes yang berkaitan dengan kes yang disiasat tanpa perlu memaklumkan kepada pemunya atau pemilik lebih awal lagi. Malah dalam proses siasatan, unsur kejutan (element of surprises) adalah penting untuk mengelakkan barang kes berkenaan dimusnahkan, disembunyikan, dilarikan dan seumpamanya sebelum ia diperolehi.


Sumber: Soalan-soalan Lazim kepada SPRM